Friday, 9 September 2011

..... PaSTi....

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai.
Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah.
Selawat dan salam keatas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.
Kehidupan dan kematian itu suatu lumrah hidup yang tidak mungkin dapat dipisahkan. Semua makhluk yang bernyawa baik manusia, haiwan, tumbuhan, jin, syaitan bahkan malaikat sekalipun pasti akan merasai mati.
Tiada makhluk yang kekal, hanya Allah s.w.t bersifat baqa'. Namun tidak siapa yang mengetahui bila saatnya ajal yang datang di muka pintu.
Hakikat kematian seringkali dilupakan oleh kebanyakan manusia disebabkan oleh nikmat dan kegembiraan hidup dunia yang fana ini. Hanya apabila maut menghampiri, barulah manusia akan sedar akan kebenaran yang sering dilupakan iaitu kematian.
Benarlah apa yang dikatakan oleh Saiyidina Ali r.a bahawa manusia ini semuanya dalam keadaan tidur, mereka akan sedar ketika malaikat maut datang mencabut nyawanya. Ramai diantara kita lupa akan janji Allah s.w.t dalam firmanNya :
"Setiap yang bernyawa akan merasai mati" (Al-Imran : 185)
Janji Allah itu pasti. Tidak pernah Dia lengah terhadap apa yang dijanjikanNya. Sekalipun janji Al-Malik itu benar, namun sedikit sekali yang mengingati dan menghayati peringatan tersebut.
Tidak kira siapa pun kita, tua atau muda, raja atau rakyat jelata, kecil atau besar tubuh kita, dan dimana kita berada, ajal akan datang memanggil apabila sampai saatnya. Firman Allah s.w.t:
"Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu (apabila sampainya ajal) sekalipun kamu berada di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh" (An-Nisa: 78)
Wahai saudaraku, maut tidak pernah melupakan kita walau sesaat. Maut tidak pernah jauh dari kita bahkan semakin dekat, dan mendekat dari hari ke hari. 
Sekalipun ia hampir dengan kita, tidak pula ia memberi amaran dan peringatan bahawa nyawa berada di hujung usia.
Tiada siapa yang akan tahu bila ajalnya tiba. Ada yang menemui ajal ketika sedang sujud kepada Allah, dan ada pula ketika sedang bermaksiat dan menderhakai Allah.
Kerana itulah kita perlu berjaga-jaga setiap masa. Hiasilah diri dan minda agar mudah ingat kepada kematian supaya kita tidak lupa destinasi utama yang ingin dituju kelak.
Pernah diceritakan di Mekah, terdapat seorang ulama' yang sentiasa menutup setiap percakapannya dengan kalimah "Allah".
Jika diberi salam kepadanya, beliau akan menjawab "waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh- Allah". Apa khabar?- Allah, Selamat Petang- Allah. Beliau menutup semua percakapannya dengan menyebut nama Allah s.w.t. Maha suci Allah, beliau berkata sedemikian kerana bimbang beliau mati tanpa menyebut nama Allah kerana beliau tidak tahu bila ajal akan menjemputnya. Begitulah mereka yang sentiasa berjaga-jaga terhadap kematian, tidak pernah lupa padanya.
Ingatlah wahai diriku dan semua saudaraku, dunia ini adalah fana. Jangan terlalu mengejar keduniaan hingga lupa kepada tempat kita kembali nanti.
Mungkin ketika ini kita merasa masih terlalu awal untuk memikirkan soal kematian, masih muda remaja dan masih belum puas berseronok di muka bumi ini. Saban hari usia kita semakin meningkat sebaliknya hayat semakin berkurang. Janji Allah itu benar sekalipun kita cuba untuk mendustakannya. Firman Allah s.w.t :
"Katakanlah (Wahai Muhammad), Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah,yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan" (Al-Jumu'ah: 08)
Semoga taufik dan hidayah Allah s.w.t sentiasa bersama kita semua agar kita tidak lupa tabir kematian yang menanti setiap waktu. insyaAllah.

No comments: